Email
Phone
Facebook

ADTEC Shah Alam merupakan salah sebuah institusi latihan dibawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) yang ditubuhkan bagi membangun tenaga kerja mahir yang kompeten melalui latihan berteknologi tinggi seiring wawasan kerajaan yang menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Melalui Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK 7), ADTEC Shah Alam dibina di kawasan perindustrian Bukit Kemuning di atas tapak seluas 40 ekar dan telah siap pembinaan sepenuhnya pada tahun 2000. Pada Julai 2001, ADTEC Shah Alam telah memulakan operasi dengan membuatan pengambilan pelajar pertama seramai 107 orang. Y.A.B Dato' Seri Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi selaku timbalan Perdana Menteri pada masa itu telah merasmikan ADTEC  Shah Alam pada 11 Januari 2003.

Penyelenggaraan Kapal Terbang merupakan bidang yang diperkenalkan pada tahun 2006 kepada 8 bidang sedia ada bagi menampung keperluan tenaga kerja yang tinggi dengan kerjasama National Aerospace and Defence Industries (NADI) .Pada Julai 2011, Program Sijil ini dinaiktaraf kepada Diploma Teknologi Penyelenggaraan Kapal Terbang Untuk Pengambilan Pertama.

Selain daripada itu, melalui program Malaysia-Japan Automotive Industry Co-Operation (MAJAICO) yang merupakan inisiatif di bawah perjanjian kerjasama Ekonomi Malaysia-Jepun yang ditandatangani pada Julai 2006, JTM dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan projek MAJAICO B iaitu kerjasama di antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Japan External Trade Organization (JETRO). Projek MAJAICO B yang dijalankan oleh JTM dan NISSAN ini bertujuan menjalankan aktiviti latihan kepada pensyarah di institusi latihan serta memperluaskan kemahiran sedia ada ke tahap yang lebih tinggi untuk melatih tenaga kerja industri.

Sehingga Disember 2018, ADTEC Shah Alam telah mengeluarkan seramai 4,672 orang graduan dalam pelbagai bidang kemahiran termasuk Kimpalan, Pembuatan (Pemesinan), Jaminan Kualiti, Komputer (sistem) Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Mekatronik, Elektronik, Elektrik Kuasa dan Penyelenggaraan Kapal Terbang. Para graduan lepasan ADTEC Shah Alam telah memasuki pasaran industri bukan sahaja di dalam malahan di luar negara.