Email
Phone
Facebook

PENGARAH ADTEC SHAH ALAM

HAJAH ZURAINI MUDA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihi, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Rasul pilihan, keluarga baginda, para sahabat dan tabi'in.

Selamat datang diucapkan kepada semua pengunjung Laman Web Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam. Laman Web rasmi ADTEC Shah Alam ini dibangunkan untuk menyebar luas dan membekal informasi mengenai program latihan, aktiviti-aktivit latihan, perkhidmatan dan kemudahan terkini yang disediakan di institut ini seterusnya menyediakan perkhidmatan yang efisyen, telus dan mudah serta amat pantas kepada setiap pengunjung sama ada di kalangan komuniti setempat khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Untuk makluman, ADTEC Shah Alam (ADTECSA) telah ditubuhkan pada tahun 2001 untuk menghasilkan tenaga mahir bagi meningkatkan daya saing industri di Malaysia. Peluang latihan di ADTEC Shah Alam ditawarkan kepada belia dan lepasan sekolah, graduan dari institusi latihan lain yang ingin mengikuti latihan serta pekerja industri yang ingin meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.

ADTECSA menawarkan program Diploma Teknologi Kejuruteraan, Diploma Teknologi Perindustrian dan Diploma Kemahiran Malaysia untuk lepasan SPM bagi memenuhi keperluan industri. (Sila rujuk kursus sepenuh masa). Para graduan boleh bekerja di industri sebagai juruteknik atau penolong jurutera. Mereka juga boleh mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam program teknologi kejuruteraan di mana-mana universiti teknikal (MTUN) seperti UTEM, UNIMAP, UTHM, UMP atau UNIKL.

Graduan ILP, IKBN dan institusi TVET sentiasa dialu-alukan untuk menyambung latihan secara sepenuh masa di peringkat Diploma di ADTEC Shah Alam. Diploma Teknologi Kejuruteraan, Diploma Teknologi Perindustrian dan Diploma Kemahiran Malaysia (Tahap 4) yang diperolehi boleh meningkatkan kebolehpasaran mereka di industri dan mendapat gaji yang lebih tinggi sebagai pekerja mahir. Untuk bidang Elektrik Kuasa dan Teknologi Penyelenggaraan Kapal Terbang, program ini diiktiraf oleh agensi yang mengawal selia iaitu Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM).

Sebelum tamat pengajian, semua pelajar harus menjalani Latihan Industri (LI) selama enam bulan untuk memberi pendedahan dan peluang kepada mereka untuk mengalami hasil gabungan antara latihan di institusi dan pengalaman kerja industri. Kebanyakan industri memberikan sambutan yang baik terhadap permintaan pelajar untuk mendapatkan tempat latihan. Mereka juga mungkin diserap sebagai pekerja tetap selepas tempoh OJT.

Sebagai salah satu institusi TVET milik penuh kerajaan iaitu di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia, kami sentiasa berusaha dan komited untuk menawarkan latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri. Peluang latihan yang ditawarkan di ADTEC Shah Alam kepada belia-belia lepasan sekolah dan pekerja-pekerja industri adalah selaras dengan hasrat Malaysia untuk menghasilkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan memiliki sikap positif untuk terus maju dalam ekonomi global.

Sebarang bentuk jalinan kerjasama amatlah dialu-alukan agar kita dapat bersama-sama berganding bahu dalam usaha menjayakan hasrat Negara dan pada masa yang sama membolehkan ADTEC Shah Alam menjadi sebuah institut latihan yang sentiasa unggul dan cemerlang bagi melahirkan belia-belia yang hebat dari segi kemahiran, pengetahuan dan daya saing. Sekalung tahniah kepada Jawatankuasa Laman Web dan semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan laman web ini.

Diharap ADTEC Shah Alam dapat menjadi pendorong kepada belia-belia tempatan dalam mendapatkan kemahiran bagi masa depan diri, keluarga dan Negara. Semoga anda semua dapat menikmati sajian informasi mengenai kami. Selamat Melayari Laman Web Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam

Sekian, terima kasih. Wassallamualaikum w.b.t.

HAJAH ZURAINI MUDA

Pengarah ADTEC Shah Alam

Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.